Latest News

10 Tumpuan Utama KPT Tahun Ini

» AMANAT MENTERI PENGAJIAN TINGGI


10 Tumpuan Utama KPT Tahun Ini

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam amanat tahun barunya kepada semua staf kementerian dan universiti di PICC, di sini pagi Selasa telah menumpukan ucapannya pada 10 perkara utama untuk dilaksanakan tahun ini.

Sepuluh perkara itu ialah (1)Memperkasakan IPT (2) Kualiti Tenaga Akademik (3) Memartabatkan Akademik dan Penubuhan Majlis Profesor Negara (4) Peningkatan Kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan (5) Program Pengantarabangsaan (6) Pembangunan Kualiti pelajar (7) Kebolehpasaran Graduan (8) Pelan Transformasi Politeknik (9) Transformasi Kolej Komuniti dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (10) Program Transformasi IPTS.

Dengan membawa tema Kualiti, Inovasi dan Keserakanan, ikuti ucapan tersebut sepenuhnya;

1. Telah menjadi kebiasaan apabila tiba tahun baru, kita membina azam yang tepat untuk dijadikan sebagai arah tuju dan panduan kita. Bagi Kementerian Pengajian Tinggi, secara amnya ia tertumpu kepada usaha untuk terus memperkukuh proses transformasi bagi membawa pencapaian sektor pengajian tinggi negara ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam menjayakan pembangunan sosio-ekonomi Negara, mengatasi cabaran dan persaingan mahupun menjadikan Negara kita hub kecemerlangan pengajian tinggi serantau. Di dalam masa yang sama, merancang mendepani zaman dengan menyediakan generasi baharu yang berkeupayaan memacu agenda pembangunan Negara untuk mencapai status Negara berpendapatan tinggi.



Sepintas Lalu Pencapaian Tahun 2009

2. Secara peribadi saya berpuas hati atas pencapaian sektor pengajian tinggi negara keseluruhannya pada tahun 2009. Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan rasa penghargaan atas segala khidmat dan sumbangan yang telah diberikan oleh semua pihak samada secara langsung atau tidak langsung dalam melaksanakan tanggungjawab mahupun dalam menjayakan segala aktiviti dan program. Walau bagaimana pun saya percaya dengan segala kepakaran, potensi dan kemudahan yang ada, kita masih mempunyai ruang yang amat luas untuk terus meningkatkan lagi pencapaian ke tahap yang lebih tinggi lagi.

3. Seperti kita semua sedia maklum, mulai tahun 2009 Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah digunakan bagi mengukur prestasi setiap kementerian masing-masing. Pendekatan itu menjadikan kita lebih berfokus dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan menekankan hasil dan pencapaian untuk semua perkara yang dilakukan. Bagi versi pertama tahun 2009, kita menetapkan 4 bidang keberhasilan utama (KRA) dan 14 petunjuk-petunjuk prestasi (KPI). Empat KRA tersebut ialah Akses dan Kualiti; Kebolehpasaran Graduan; Pengantarabangsaan, dan Penyelidikan dan Pembangunan. Pencapaian ke atas keempat-empat MKRA itu adalah memuaskan kerana telah melepasi sasaran yang ditetapkan. Selain daripada itu kita telah memilih dua (2) program utama yang dianggap sebagai Quick Wins iaitu untuk menjadikan 3 buah politeknik sedia ada sebagai “Premier Polytechnic” dan pemilihan 6 buah “Center of Excellence” Pengajian Tinggi di mana pengumumannya akan dibuat tahun ini.

4. Walau pun tidak dilaporkan didalam MKRA dan KPI bagi tahun 2009, terdapat banyak lagi pencapaian-pencapaian lain khasnya dalam hal berkaitan dengan pelaksanaan program dan aktiviti Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) secara keseluruhannya. Bagi tujuan rekod, pencapaian-pencapaian itu telah kita laporkan di dalam penerbitan Laporan Kemajuan Pelaksanaan PSPTN yang dibuat secara berkala. Sementara itu saya juga percaya semua agensi-agensi dan IPT mempunyai laporan-laporan tersendiri yang mengukur pencapaian masing-masing berbanding dengan perancangan yang dibuat pada setiap awal tahun. Semoga segala pencapaian-pencapaian itu akan memberikan motivasi kepada kita semua untuk terus memperbaikinya pada masa hadapan.


Persekitaran Dan Cabaran Semasa

5. Kita memasuki tahun 2010 dengan landskap dan persekitaran nasional mahupun antarabangsa yang telah berubah dengan begitu ketara sekali yang membawa bersamanya banyak cabaran-cabaran yang lebih besar dan kompleks. Tahun 2010 juga merupakan tahun akhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9). Tahun ini juga merupakan tahun terakhir Fasa 1 pelaksanaan PSPTN yang memerlukan kita meletak asas yang kukuh sebelum boleh meningkat dan memperkasakan sektor pengajian tinggi ke arah kecemerlangan. Sementara itu di bawah pentadbiran baru YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri, kita juga akan diperkenalkan dengan gagasan model ekonomi baru negara yang berteraskan inovasi, kreativiti dan berpengetahuan tinggi yang diharap berupaya melonjakkan pencapaian ekonomi Negara pada tahap ekonomi berpendapatan tinggi.

6. Kita perlu akur bahawa keadaan sosioekonomi, persekitaran dan cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang akan menentukan tatacara dan amalan yang sesuai untuk dilaksanakan bagi menghadapi tahun 2010 ini. Kita juga menyedari bahawa kita tidak lagi mempunyai kemewahan sumber yang biasa kita kecapi seperti sebelumnya. Dalam erti kata yang lain, kita perlu beroperasi dalam keadaan di mana sumber-sumber adalah terhad (scarcity of the resources). Berlatar belakangkan semua inilah, kita perlu sedar dan insaf bahawa kejayaan akan hanya dapat kita capai apabila kita mempunyai perancangan yang rapi, pelaksanaan dan kawalan yang berkesan, mempunyai sikap kebertanggungjawapan yang tinggi, berkreatif, bekerjasama dan berkongsi sumber dalam situasi menang-menang (win-win situation). Dan pada masa yang sama, kita tidak mampu melakukan sebarang kesilapan, perlu mengelakkan konflik dan perbalahan sesama sendiri, mengurangkan segala bentuk pembaziran dan seterusnya mencari jalan bagaimana kita boleh berprestasi secara “with less, we deliver more”.

7. Dalam merentasi dan menjayakan semua program, sasaran dan tumpuan kementerian bagi tahun 2010 dan seterusnya, penekanan akan diberikan kepada soal amalan dan penerapan budaya KUALITI, INOVASI DAN COLLEGIALITY (KESERAKANAN). Ia saya sifatkan menjadi faktor utama untuk sektor pengajian tinggi sentiasa menjadi relevan, berdaya saing dan mencapai kecemerlangan. Melaluinya ia akan memacu usaha kita menyediakan generasi masa hadapan negara yang dapat berubah bersama-sama arus perubahan ekonomi negara dari ekonomi berasaskan industri dan pembuatan kepada ekonomi berasakan pengetahuan dan inovasi. Seterusnya pula ini akan membantu mengeluarkan negara dari kemelut ekonomi berkisar kepada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi (high income economy) dan berdaya saing.

8. Budaya kualiti adalah satu aspek besar dan penting yang perlu dikongsi oleh semua pihak. Ini adalah kerana dimensi kualiti adalah penanda kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian-pencapaian kita yang lain. Dalam konteks sektor pengajian tinggi saya berharap semua mengambil langkah yang lebih besar dan bersistem untuk membangunkan inisiatif-inisiatif untuk peningkatan dan pematuhan kualiti secara menyeluruh dan berterusan berpandukan kepada semangat kai-zen atau peningkatan kualiti secara berterusan. Anatara pendekatan kualiti juga berkait rapat dengan penanda aras atau ‘bencmarking’, atau ‘gap analysis’ yang boleh menentukan pencapaian kualiti kita.

9. Semua pihak sedia maklum bahawa inovasi telah dimurtabatkan sebagai agenda nasional yang merentasi segala aspek kehidupan masyarakat. Diperingkat kebangsaan beberapa perancangan telah dibuat termasuk pembentukan jawatankuasa di pelbagai peringkat. Bagi sektor pengajian tinggi dan komuniti keilmuan kita perlu membuat persediaan yang lebih konkrik bagi menyambut agenda inovasi itu. Saya melihat ada keperluan supaya IPT dan agensi-agensi dibawah sektor pengajian tinggi untuk membuat perancangan dan tindakan termasuk dalam aspek pembentukan ekosistem yang yang meraikan inovasi, struktur bagi penggerak-pengerak inisiatif inovasi yang memain peranan sebagai juara (champion), infrastruktur, pengurusan pembudayaan inovasi secara menyeluruh dan juga pengiktirafan atas pencapaian.

10. Bagi inisiatif collegiality (keserakanan), falsafah dan objektifnya perlu dihayati dan dikongsi bersama oleh semua pihak di dalam sektor pengajian tinggi secara ‘mutual’ termasuk menyedari bagaimana ianya boleh mempercepat proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Usaha-usaha perlu dibangunkan khasnya oleh IPT dan individu-individu dalam kerangka besar “competition and cooperation” sesama sendiri bagi tujuan pencapaian Negara secara keseluruhannya. Bidang-bidang yang boleh diambil kira untuk dimunfaatkan termasuk soal pengajaran, penyelidikan, penyeliaan pelajar, penganjuran majlis keilmuan dan lain-lain lagi.

Memperkasakan IPT

11. Bagi tahun 2010, fokus pertama kementerian ialah meneruskan usaha memperkasakan IPT. Dan ini akan dilaksanakan antara lain melalui pemberian autonomi. Secara prinsipnya kita menyedari bahawa autonomi amat penting kerana ia mampu menjadikan IPT lebih berdaya saing dan meningkatkan kreativiti serta kebertanggungjawapan dalam pengurusan. Antara bidang-bidang utama autonomi yang boleh diberi termasuk perundangan, operasi (tadbir urus), akademia, kewangan, sumber manusia, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Kementerian akan juga membangunkan satu kerangka pelaksanaan autonomi di mana prasyarat penting yang perlu wujud sebelum autonomi diberikan ialah setiap IPT perlu menyediakan mekanisme kawalan di peringkat dalaman kerana pemberian autonomi secara prinsipnya adalah penurunan kuasa dan tanggungjawab ke peringkat yang lebih rendah. Selain itu atonomi bukanlah sifatnya seperti zero- sum game dimana apabila dilepaskan yang memberi autonomi akan terlepas dari tanggungjawabnya. Secara teknikalnya pihak kementerian masih akan bertanggungjawab atas keseluruhan perjalanan IPT disebalik pemberian kuasa autonomi itu kelak.

12. Di dalam usaha IPT mengambil inisiatif menjana pendapatan dalaman sendiri, saya berharap ia dapat dilakukan secara berhemah tanpa menjejaskan fungsi murni IPT sebagai pusat kecemerlangan akademik. Peraturan-peraturan dan syarat-syarat tertentu akan dilihat agar ianya tidak menjadi penyekat kepada IPTA untuk melaksanakan program bagi menjana pendapatan mereka sendiri. Setakat ini kita mendapati bahawa ada beberapa IPTA yang berupaya untuk menjana pendapatan dalaman yang menyumbang 30% atau lebih kepada perbelanjaan operasi.


Kualiti Tenaga Akademik

13. Usaha memperkasakan IPT akan juga dilakukan melalui peningkatan jumlah tenaga pengajar yang berkualiti. Kita mensasarkan supaya university penyelidikan mempunyai sekurang-kurangnya 75% tenaga pengajar berkelayakan PhD manakala universiti-universiti lain mencapai tahap 40%. Pihak kementerian akan terus membantu IPT untuk menyediakan ahli akademiknya untuk meningkatkan kelayakan ke tahap Ph.D dan kita juga maklum bahawa kebanyakan IPT telah menggunakan Ph.D sebagai kelayakan asas untuk memasuki perkhidmatan sebagai pensyarah. Namun demikian saya ingin menggesa agar pihak IPTA mengambil langkah tertentu untuk menentukan segala pelaburan bagi tujuan meningkatkan pensyarah berkelulusan Ph.D ini memberi pulangan sewajarnya. Pemilihan perlu dilakukan dengan teliti terhadap calon-calon sebelum dihantar selain mengambil langkah-langkah sokongan lain termasuk memberi latihan pra-pengajian serta pemantauan dilakukan dari semasa kesemasa. Dalam aspek ini, KPT telah mengambil usaha membuat kajian menyeluruh terhadap faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada keberkesanan penyediaan tenaga akademik itu dan akan dikongsi bersama dan dijadikan asas tindakan dan perancangan pada tahun 2010.

14. Selain itu IPT perlu mencari jalan untuk menarik tenaga pengajar yang berkelayakan sama ada dari dalam atau luar negara. Potensi yang besar juga terdapat sekiranya IPT boleh menarik bakat-bakat dari industri untuk menyumbang samada secara sepenuh atau separuh masa dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan masing-masing. Selain daripada memenuhi keperluan gunatenaga akademik, pengalaman industri yang dibawa ke universiti akan menambah nilai kepada program akademik yang ditawarkan.

15. Saya juga berpendapat sudah sampai masanya IPT dalam negara sama ada IPTA atau IPTS mencari jalan bagaimana boleh berkongsi kepakaran secara sinergi. Bagi tujuan itu, satu pelan mobiliti pensyarah yang lebih kemas untuk menyokong usaha tersebut perlu diusahakan secara serius. Contohnya seorang pensyarah mempunyai satu ‘parent institution’ tetapi boleh dibenarkan untuk memberi sumbangan kepada institusi yang lain sama ada dalam aspek pengajaran, penyelidikan dan penyeliaan pelajar.

16. Di peringkat institusi, universiti perlu mencari jalan untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif untuk ahli-ahlinya. Ini termasuk dalam aspek penyediaan ruang dan peluang, infrastruktur dan bantuan-bantuan lain yang diperlukan. Sesebuah institusi yang Berjaya juga kebiasaannya mempunyai budaya kerja tertentu. Contohnya, pada masa sekarang, kebanyakan institusi mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi. Antara ciri-ciri budaya berprestasi tinggi ialah mengamalkan pentadbiran secara demokratik yang bertunjangkan kepada kerja berpasukan secara penglibatan dan penyertaan semua ahli.

17. Budaya kerja berprestasi tinggi juga memerlukan kepimpinan yang boleh mempunyai visi dan hala tuju yang jelas yang turut dikongsi bersama-sama oleh ahli-ahlinya. Bagi tujuan kemajuan secara berterusan, organisasi juga harus bersedia untuk melabur dalam mempertingkatkan keupayaan ahli-ahli dalam ilmu dan pengetahuan yang diperlukan. Apatahlagi dalam dunia yang penuh persaingan sekarang, kelebihan daya saing (competitive advantage) organisasi adalah bergantung kepada kekuatan ilmu, pengetahuan yang dimiliki oleh ahli masing-masing.


Memartabatkan Akademik dan Majlis Profesor Negara

18. Seterusnya dalam usaha untuk memelihara kewibawaan serta komitmen keilmuan dalam sektor pengajian tinggi, pada tahun 2010 ini, pelbagai usaha akan dilakukan. Antaranya membangunkan Indeks Kesarjanaan yang akan menentukan kriteria standard seseorang sarjana dalam usaha meningkatkan keyakinan awam terhadap kredibiliti akademik, memperkenalkan portal e-Academia yang boleh menghubungkan semua komuniti keilmuan di IPT bagi tujuan agenda keilmuan mereka, menyediakan garis panduan etika penggunaan gelaran Profesor dan Doktor demi memelihara imej dan martabat profesion serta menginstitusikan komuniti keilmuan terunggul yang akan dikenali sebagai Majlis Profesor Negara. Sehingga akhir tahun 2009 yang lalu kita mempunyai bilangan Profesor dari pelbagai bidang berjumlah 1,426 orang.

19. Majlis Profesor Negara ini diharap akan dapat menyumbang input kepakaran bagi kegunaan advokasi awam (public advocacy) khasnya dalam memperkukuh asas penggubalan dan pelaksanaan dasar negara, menyumbang khidmat nasihat dan pemikiran baru untuk meningkatkan daya saing negara, menjadi custodian, kepada keunggulan dan integriti ilmiah, dan juga memberi peluang kepada kumpulan elit keilmuan ini memberi sumbangan kepakaran masing-masing.


Peningkatan Kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan

20. Tumpuan kedua kementerian ialah dalam soal kegiatan penyelidikan dan pembangunan. Kegiatan penyelidikan dan pembangunan mempunyai tempat dan peranan yang amat penting dalam sektor pengajian tinggi. Matlamat utama kita adalah untuk membangun dan memantapkan keupayaan penyelidikan dan inovasi di IPT supaya dapat menyumbang melonjakkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara. Bagi meningkatkan keupayaan dalam aktiviti penyelidikan kita perlu mempunyai ‘critical mass’ yang boleh menjadi enjin untuk melaksanakannya.

21. Berdasarkan laporan kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa agensi, bilangan penyelidik, saintis dan jurutera kita (termasuk dari kalangan industri) adalah sekitar 30 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja. Bilangan ini amat jauh berbanding negara lain seperti Jepun (131.5 orang), Kesatuan Eropah (99.6 orang), Korea Selatan (89.5 orang) dan Singapura yang turut mencatatkan bilangan yang lebih tinggi iaitu 111.3 orang. Kita mensasarkan bahawa menjelang akhir tahun 2010 kita boleh mencapai kadar 35 RSE bagi mempergiat aktiviti penyelidikan dan inovasi negara.

22. Indeks Keupayaan Inovasi dalam laporan yang dikeluarkan oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) pada tahun 2008 telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-60 dan tergolong dalam kategori sederhana berbanding Negara Asia lain seperti Jepun (kedudukan ke sebelas), Korea Selatan (ke-20), Singapura (ke-30) dan Thailand (ke-54). Sementara itu laporan dayasaing global 2009 oleh Harvard dan Forum Ekonomi Dunia meletakkan negara di tangga ke 23 di dunia berbanding contohnya Taiwan (ke8), Korea selatan (ke10), Singapore (ke 11) dan Hong Kong (ke 21). Analisis jurang menunjukkan bahawa hasil yang diperlukan ialah model antarabangsa dan amalan inovasi terbaik, penarafan antarabangsa, dan negara penanda aras (benchmark). Justeru, usaha-usaha secara berterusan perlu diambil oleh semua pihak samada di peringkat KPT atau juga IPT bagi meningkatkan pencapaian dalam bidang R&D ini. Diperingkat Kementerian, kita telah mebangunkan Malaysian Research Assessment Instrument (MyRA) bagi IPTA dan IPTS membuat penilaian kendiri atas pencapaian penyelidikan institusi masing-masing.

23. Usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi akan diteruskan dengan penstrukturan semula dana R&D yang mana bukan sahaja penting untuk menggiatkan aktiviti penyelidikan, malah ia juga menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan melalui kerjasama rapat antara IPTA, institusi penyelidikan dan syarikat swasta. Potensi pengkomersialan hasil penyelidikan adalah besar memandangkan Negara hanya mengkomersialkan 3.5 peratus hasil penyelidikan berbanding purata 10 peratus di peringkat antarabangsa. Universiti Penyelidikan ditubuhkan bertujuan untuk menggiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di IPT. Dalam tempoh transformasi, dua buah universiti penyelidikan lagi akan ditambah sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan. Dalam masa yang sama saya amat berharap supaya keempat-empat universiti penyelidikan yang sedia ada akan melepasi audit yang akan dijalankan pada tahun 2010 ini.

24. Pada masa kini terdapat lebih 142 Pusat Kecemerlangan dalam IPT yang dianggap berpotensi dan 6 daripadanya telah dipilih untuk menjadi Pusat Kecemerlangan KPT (HICoE). Langkah seterusnya yang perlu dilakukan ialah untuk menentukan setiap HICoE itu dapat memperteguhkan keupayaan penyelidikan masing-masing supaya dapat menyambut keperluan penyelidikan negara khasnya yang diperlukan oleh industri serta kementerian dan badan kerajaan yang lain. Usaha-usaha itu termasuk menentukan supaya ia dapat menjadi platform penyelidikan dalam bidang tertentu yang boleh menggembelingkan kepakaran dari pelbagai institusi samada dari dalam atau luar negara, mampu mendapatkan dana penyelidikan secara kompetitif serta mengeluarkan hasil penyelidikan yang memberi nilai kepada pembangunan ilmu dan ekonomi negara. Selain itu sudah sampai juga masanya kita ingin melihat supaya pusat kecemerlangan penyelidikan ini mampu menawarkan program akademik secara penyelidikan diperingkat Masters dan Ph.D dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kapasiti (capacity building) dalam penyelidikan selain menjadi tarikan pelajar antarabangsa.

25. Kerajaan telah menyediakan pelbagai dana bagi membantu para penyelidik menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan berdaya komersial. Antara geran-geran penyelidikan yang disalurkan oleh Kerajaan adalah Intensification of Research in Priority Area (IRPA), Sciencefund, Technofund, Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dan Research University Grant Scheme (RUGS). Bagi tahun 2010 KPT akan memperkenalkan inisiatif baru dalam bentuk dana yang boleh meningkatkan lagi aktiviti penyelidikan di IPT. Antara bentuk dana yang akan diperkenalkan termasuk dana Long-Term Research Grant Scheme (LRGS), Dana Exploratory Research Grant Scheme (LRGS) dan dana Commercialisation Research Grant (CRGS).


Program Pengantarabangsaan

26. Tumpuan ketiga kementerian ialah agenda pengantarabangsaan pengajian tinggi. Selaras dengan usaha menjadikan negara sebagai hub kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini serta bagi memenuhi sasaran jumlah enrolmen 100,000 menjelang 2015, pelbagai usaha pemasaran akan diaturkan dengan lebih strategik dan berkesan oleh Bahagian Pemasaran, JPT. Selain itu kita juga sedar bahawa usaha untuk menarik pelajar antarabangsa datang belajar ke negara ini turut diterajui oleh pihak IPT masing-masing dengan pelbagai pendekatan.

27. Dalam keghairahan untuk menarik pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di IPT negara ini melalui pelbagai strategi pemasaran itu, beberapa perkara asas yang berkaitan dengan peranan ‘tuan rumah’ dan hospitaliti perlu turut diberi perhatian. Antaranya semua IPT perlu memastikan bahawa suasana pembelajaran, kemudahan penginapan dimana yang perlu, dan keselamatan adalah kondusif dan bersesuaian untuk proses menyediakan khidmat bantuan dalam aspek keperluan imigresen dan visa serta sentiasa bekerjasama dengan pihak KPT bagi segala urusan yang berkaitan dengan kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar antarabangsa itu.

28. Selama ini aspek pengantarabangsaan hanya ditekankan kepada proses membawa masuk pelajar-pelajar antarabangsa. Bagi tahun 2010 ini saya mengharapkan agar skop dan aktiviti program pengantarabangsaan ini diperluaskan lagi kepada perkara-perkara lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan akademik secara menyeluruh. Kementerian juga akan mengenalpasti bidang-bidang tujahan yang dijadikan niche area dalam pengajian di peringkat pasca siswazah. Pendekatan ini akan menjadikan pengajian pasca siswazah kita lebih dinamik dan relevan dengan kehendak semasa.

29. Dimensi pengantarabangsaan juga perlu diperluas kepada usaha memperteguh tenaga akademik tempatan dengan strategi tertentu termasuk penglibatan dan pendedahan pensyarah peringkat antarabangsa termasuk ‘attachment, pertukaran kepakaran dari dan kepada organisasi antarabangsa samada di universiti atau pusat penyelidikan, penyeliaan pelajar Masters dan Ph.D secara bersilang dan lain-lain lagi.

30. Pada masa yang sama, kerajaan membenarkan IPTA untuk mengambil tenaga pengajar dari luar negara untuk meningkatkan suasana akademia yang cemerlang. Namun demikian, jumlah pengambilan tenaga pengajar luar masih lagi kecil. Kerajaan telah mula membenarkan IPTA mengambil tenaga pengajar luar negara berdasarkan contract for service yang membolehkan mereka dipertimbangkan bayaran tanpa mengaitkannya dengan skim gaji sektor awam. Dengan ini bermakna, IPTA dibenarkan membayar jumlah gaji yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak. IPTA perlu menggiatkan usaha untuk mendapat tenaga pengajar antrabangsa yang ternama selaras dengan matlamat 15 peratus tenaga pengajar dari luar negara di universiti penyelidikan menjelang tahun 2020.

31. Usaha perlu dipergiat bagi menggalakkan lebih banyak institusi, badan pengiktirafan dan negara luar mengiktiraf program kursus dan IPT negara ini. Usaha ini penting untuk memudahkan penerimaan ijazah yang dianugerahkan oleh IPT tempatan kepada pelajar luar negara. Pelaksanaan MQF dijangka akan memudahkan proses ini, terutamanya apabila Malaysia menjadi ahli dalam pertubuhan pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti Lisbon Convention on the Recognition of Qualification concerning Higher Education in the European Region 1997 dan Washington Accord for International Mutual Recognition of Engineers (bidang kejuruteraan).

32. Pada tahun 2010 ini juga KPT akan menstruktur dan mengkaji semula peranan Jabatan Penuntut Malaysia agar menjadi lebih strategik dan seterusnya membantu usaha pengantarabangsaan sektor pengajian tinggi Negara. Secara amnya mereka akan dikenali sebagai Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia dan peranannya akan juga merangkumi usaha-usaha yang kita bincangkan di atas. Dalam erti kata lain, jabatan ini tidak lagi hanya menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar, sebaliknya menawarkan perkhidmatan yang lebih komprehensif termasuk membina jaringan akademik antara Malaysia dan antarabangsa.


Pembangunan dan Kualiti Pelajar

33. Program pembangunan dan usaha melahirkan pelajar berkualiti, merupakan fokus ke 4 kementerian bagi tahun 2010. Golongan pelajar merupakan kumpulan majoriti dalam sesebuah IPT. Sebagai kumpulan terbesar, mereka menjadi ‘unit of analysis’ kepada pencapaian kita keseluruhannya. Kita menyedari bahawa harapan oleh semua pihak amat besar agar graduan yang bakal dilahirkan dapat menguasai ilmu dan juga kemahiran yang tinggi. Jika dahulu universiti berfungsi sebagai gedung ilmu dan pusat kecemerlangan akademik, tetapi pada masa kini, fungsi dan tanggungjawab universiti semakin bertambah apabila perlu memikirkan bagaimana mahu menghasilkan graduan yang benar-benar berkualiti dan mempunyai keboleh pasaran yang tinggi. Perkembangan ini amat mendesak sehingga kejayaan sesebuah universiti itu ada kalanya dilihat berdasarkan pencapaian mereka menghasilkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

34. Oleh itu, pihak Kementerian akan terus memberi perhatian serius terhadap soal ini, khususnya melalui aktiviti kokurikulum di IPT. Setelah kita melancarkan buku Pembangunan Pelajar: Memperkasakan Kokurikulum Institusi Pengajian Tinggi pada tahun lepas, pada tahun ini kita akan meneruskan usaha untuk menyelaras dan menyeragamkan kegiatan kokurikulum di IPT. Ini bagi memastikan pelaksanaan kokurikulum bertambah mantap dan berkualiti.

35. Dalam menyediakan pelbagai aktiviti kokurikulum, sukan diterima sebagai salah satu pengisiannya. Dan ia sudah tentu memerlukan penglibatan aktif daripada pelajar. Selama ini, kita lihat program-program sukan di IPT dianjurkan secara terasing. Maka pada hari ini, pihak kementerian akan melancarkan Liga Bola Sepak IPT, yang mana ia bukanlah sekadar satu lagi pengenalan baru untuk program sukan di kampus, malah ini merupakan strategi yang diambil untuk mengukuhkan lagi penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum IPT. Dalam liga ini, pelajar bukan sahaja digalakkan untuk menjadi peserta, malah mereka sebenarnya digalakkan untuk mengambil bahagian serta mempelopori usaha-usaha perancangan, penganjuran dan pelaksanaan liga tersebut. Ini akan menjadikan liga itu sendiri bersifat “student-oriented” yang mana penyertaan pelajar itu sendiri akan mendatangkan banyak manfaat kepada mereka. Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan saya semoga liga ini akan mendapat penyertaan dan sokongan daripada semua IPT untuk memastikan matlamat dan objektif murninya tercapai.

36. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada para atlit IPT yang baru-baru ini telah beraksi di Sukan SEA di Laos. Untuk makluman semua, seramai 46 orang atlit atau 12.4% daripada 370 jumlah keseluruhan atlit negara yang beraksi pada temasya tersebut adalah terdiri daripada atlit IPT tanah air. 10 daripada atlit tersebut juga telah menyumbangkan 16 pingat emas kepada negara, selain 15 pingat perak dan 17 pingat gangsa.

37. Selain itu, kementerian pada hari ini juga mengambil kesempatan melancarkan Malaysian Soft Skills Scale (My3S) iaitu satu instrumen yang dibangunkan untuk mengukur tahap penguasaan pelajar IPT dalam tujuh elemen Kemahiran Insaniah. Instrumen My3S ini bukan hanya bertujuan untuk mengukur tahap penguasaan kemahiran insaniah pelajar malah ia merupakan assessment of learning bagi pelajar-pelajar di IPT. Kementerian akan memastikan setiap IPT di Malaysia terlibat dan menjalankan instrumen My3S bagi merealisasikan matlamat penghasilan graduan IPT yang holistik. Beberapa sesi Training of Trainers (TOT) akan dijalankan melibatkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Ketua-Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran semua IPT bagi memberi pendedahan dan memantapkan lagi pelaksanaan program ini. Dalam pada itu, Kementerian ini juga akan menubuhkan Majlis Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPT yang berperanan untuk menyelaras dan melaksanakan instrumen My3S di IPT masing-masing. Majlis ini juga akan melaksanakan sekurang-kurangnya satu bengkel atau seminar dalam bidang pengajaran dan pembelajaran setiap tahun untuk berkongsi kepakaran dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

38. Buat masa sekarang, kementerian membuat keputusan untuk mengekalkan merit kemasukan pelajar ke IPTA iaitu 90 peratus berdasarkan pencapaian akademik (academic intelligence) dan 10 peratus berdasarkan pencapaian kokurikulum (emotional intelligence). Pembahagian merit yang kecil untuk kokurikulum dilihat bukanlah satu isu yang besar kerana apa yang lebih penting ialah, apabila pelajar-pelajar ini berjaya masuk ke universiti, mereka akan didedahkan dengan kegiatan pelajar termasuk kokurikulum berkredit secara komprehensif.

39. Malah, selain korikulum berkredit, pelajar-pelajar juga sebenarnya diberikan nilai tambahan kemahiran insaniah atau softskill menerusi pengajaran kursus dalam kuliah yang telah digabungjalin (embedded) secara sistematik. Ini bermakna, usaha membangunkan potensi dan kualiti pelajar di kampus tidaklah semestinya bergantung dengan kegiatan kokurikulum yang diberi kredit semata-mata tetapi ia dilaksanakan secara bersepadu dan berkolaborasi antara satu sama lain.

40. Selain itu, pemberian kredit bagi sesuatu kursus kokurikulum hanyalah satu insentif atau galakan yang membuka laluan terhadap matlamat yang lebih utama iaitu pengimarahan terhadap kehidupan kampus (campus life). Pihak IPT harus melihat dan mencari kaedah bagaimana penglibatan pelajar dalam kehidupan kampus selain daripada kursus kokurikulum berkredit sedia ada dapat diberi pengiktirafan berbentuk kredit.

41. Sebagai contoh pelajar yang mewakili IPT dalam pertandingan debat semestinya telah memperuntukkan beberapa jam latihan persediaan untuk pertandingan. Sewajarnya IPT berkenaan perlu menyediakan kursus kokurikulum debat berkredit berdasarkan Jam Pembelajaran Pelajar serta garis panduan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

42. Tawaran kursus juga perlu dipelbagaikan merangkumi program lain yang aktif pada peringkat IPT seperti ROBOCON, SIFE, khidmat komuniti serta kepimpinan persatuan seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan Kelab. Semua aktiviti tersebut memerlukan komitmen yang tinggi serta melibatkan masa dan tenaga pelajar.

Kebolehpasaran Graduan

43. Selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), KPT telah meletakkan kebolehpasaran graduan sebagai agenda kritikal yang perlu dilaksanakan dan mencapai sasaran sekurang-kurangnya 75% graduan memperoleh pekerjaan yang sesuai dalam tempoh 6 bulan setelah menamatkan pengajian. Sehubungan dengan itu, kerjasama pihak industri amat diharapkan agar mereka dapat menyediakan program internship bagi para pelajar memperoleh pendedahan yang sewajarnya untuk menyediakan mereka ke dunia pekerjaan. Melalui program internship ini, nilai kebolehpasaran graduan akan dipertingkatkan dan manfaatnya juga akan dinikmati sendiri oleh industri kerana graduan yang keluar daripada IPT menepati kehendak dan keperluan mereka.

44. Dalam usaha memberi nilai tambah kepada graduan, IPT perlu memperluaskan budaya keusahawanan dengan cara mengubah kurikulum, memperbanyakkan program dan aktiviti keusahawanan serta menyediakan persekitaran yang kondusif. Aktiviti keusahawanan tidak harus hanya dilihat sebagai aktiviti memupuk semangat untuk berniaga semata-mata. Malah, apa yang lebih penting ialah memastikan bahawa ciri-ciri keusahawanan itu sendiri seperti inovatif, berdaya maju, berdaya saing dan memiliki ketahanan mental serta fizikal perlu ditanam dalam pemikiran dan budaya pelajar kita.


Pelan Transformasi Politeknik

45. Tahun 2010 bakal menyaksikan pihak kementerian melaksanakan transformasi menyeluruh kepada sistem pengajian teknikal dan politeknik kelolaan Jabatan Pengajian Politeknik. Sebenarnya, langkah transformasi ini telah dimulakan pada tahun lepas lagi melalui langkah pemisahan sektor politeknik dan kolej komuniti. Pelan transformasi bagi pengajian politeknik yang direncanakan ini bertujuan untuk memartabatkan sektor pengajian teknikal dan politeknik negara sebagai laluan alternatif yang sama baik dan menjadi pilihan bagi para pelajar melanjutkan pengajian terutamanya di dalam bidang kemahiran dan teknikal. Pelan transformasi ini juga bermatlamat menghapuskan persepsi am yang selama ini mendakwa sistem pengajian politeknik hanyalah laluan peluang kedua atau “second chance” untuk para pelajar.

46. Bagi melaksanakan transformasi ini, kita akan memfokuskan usaha kementerian bagi mempertingkatkan akesibiliti pengajian tinggi melalui penyediaan lebih banyak tempat dan peluang melanjutkan pelajaran di dalam sistem politeknik negara. Kita akan melaksanakan proses “levelling up” dari segi kompetensi pembangunan ilmu melalui penaiktarafan secara berperingkat semua politeknik untuk menyediakan kursus bertaraf diploma dan ke atas, mengurangkan secara berperingkat program-program sijil dan kemahiran bernilai tambah rendah. Pelan transformasi ini juga akan memartabatkan beberapa politeknik sebagai politeknik primer bertujuan untuk memfokuskan tenaga kepakaran dan pemusatan ilmu di dalam sektor pengajian politeknik kepada bidang-bidang kepakaran atau ‘niche’ selaras dengan pembangunan industri tanah air. Langkah ini bakal mengangkat taraf pembangunan ilmu di dalam institusi politeknik dan sektor kemahiran negara ke peringkat yang lebih tinggi. Saya yakin dengan transformasi yang telah direncana dan bakal dilaksanakan ini, ia akan melonjakkan peranan politeknik di dalam sektor pengajian tinggi negara bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pembangunan modal insan berasaskan teknologi dan industri, malah turut berperanan membantu usaha kerajaan secara keseluruhan ke arah pembangunan model ekonomi baru yang berlandaskan ilmu dan inovasi.


Transformasi Kolej Komuniti dan Pembelajaran Sepanjang Hayat

47. Kementerian juga berhasrat untuk melaksanakan transformasi terhadap kolej komuniti. Justeru itu, kita akan memastikan kolej komuniti dapat memperbanyakkan program skill-based, meneroka program-program apprenticeship training dan memberi fokus kepada golongan yang tercicir. Selain itu, Kolej Komuniti telah turut memikul usaha untuk memajukan proses pembelajaran sepanjang hayat bagi golongan tertentu. Sehingga Jun 2009, Kolej Komuniti telah mencapai penyertaan seramai 56,056 orang dalam bentuk kursus pendek dan sijil. Walau bagaimanapun, dalam soal pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada Kolej Komuniti sahaja. Kita akui Kolej Komuniti mempunyai pengalaman dalam menggerakkan soal Pembelajaran Sepanjang Hayat.

48. Oleh kerana itu, saya mencadangkan supaya satu dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat dapat diperkenalkan bagi merangka dan merancang Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan lebih komprehensif. Dasar ini saya percaya akan dapat menggerakkan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan lebih menyeluruh dan pelaksanaannya tidak lagi hanya bergantung kepada Kolej Komuniti sahaja.


Program Transformasi IPTS

49. Sebelum kemerdekaan, negara kita hanya mempunyai Universiti Malaya (UM), sebagai institusi yang melahirkan tenaga kerja berijazah dalam negara. Hari kini kita boleh berbangga dengan bilangan IPT yang kita miliki telah menjadi begitu membanggakan; 20 IPTA, 45 Universiti dan Kolej Universiti termasuk 5 daripadanya cawangan universiti luar negara dan 470 kolej swasta yang beroperasi.

50. Dasar kerajaan menambah akses dan mendemokrasikan pendidikan serta strategi pengantarabangsaan khasnya pengambilan pelajar luar memperlihatkan bagaimana peranan IPTS menjadi semakin relevan. Selain itu, KPT juga telah mengenal pasti beberapa langkah untuk memperkasa dan memperkukuhkan sektor IPTS. Ia dianggap satu transformasi kepada pembangunan IPTS negara memandangkan kepentingan sektor ini sebagai 'engine of growth' kepada pembangunan ekonomi negara. Lebih-lebih lagi dalam membangunkan sumber modal insan dan peningkatan tukaran wang asing melalui pengambilan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara. KPT melihat usaha-usaha penambahbaikan dan pemantapan kualiti mesti melibatkan IPTS.

51. Antara agenda transformasi IPTS adalah berkisar dalam soal kualiti dan mutu, infrastruktur, tadbir urus dan lain-lain dengan pendekatan ‘levelling up process’ secara menyeluruh. Dalam soal kualiti contohnya, kita mahukan tahap kualiti yang ditekankan terhadap IPTA selama ini perlu juga dilaksanakan di peringkat IPTS. IPTS tidak boleh dicicirkan dalam soal ini ketika IPTA telah banyak didedahkan dengan program dan prosedur pemantauan kualiti yang amat teliti seperti Malaysia Qualification Agency (MQA) dan SETARA. Untuk itu, antara langkah-langkah yang diperkenalkan untuk memantau kualiti IPTS ialah memastikan semua universiti dan kolej universiti swasta memenuhi piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysia Qualification Framework) sepenuhnya pada 2010, manakala kolej swasta pada 2013.

52. KPT juga akan memastikan semua universiti dan kolej universiti dimasukkan dalam SETARA. Sementara itu IPTS perlu memastikan bahawa semua program matang mendapat akreditasi penuh sebelum boleh dibenarkan untuk ditawarkan kepada pelajar antarabangsa atau bagi membolehkan pelajar tempatan diberi kemudahan PTPTN. Selain isu kualiti dari segi akademik, KPT juga mahu melihat sistem pentadbiran dan governan IPTS diubah. Contohnya, pemisahan kuasa antara pemilik IPTS dengan Ketua Eksekutif dan perlunya ada satu badan yang bebas dalam organisasi IPTS untuk mengurus dan membuat keputusan berkenaan dengan perkara-perkara yang menyentuh kecemerlangan akademik. Ini akan mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih tersusun dan cekap. IPTS juga digalakkan untuk menambah aktiviti penyelidikan dan inovasi dan tidak hanya tertumpu kepada soal pengajaran dan pembelajaran semata-mata. KPT telah mula memanjangkan kemudahan dana penyelidikan FRGS kepada IPTS tertentu dan ianya mungkin boleh dipertingkatkan secara berperingkat dan dilakukan secara kompetitif. Bagi tujuan itu KPT akan memohon kerajaan agar dapat menambah dana penyelidikan untuk digunakan oleh IPTS sekali gus memperhebatkan usaha penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.

53. Dalam memperkasakan aktiviti penyelidikan di IPTS, sektor ini juga disaran mempunyai pelajar-pelajar di peringkat Masters dan PhD lebih ramai. Langkah ini dapat membantu misi kerajaan mencapai matlamat MyBrain15 dengan menambah bilangan pelajar di peringkat PhD ke angka 100,000 menjelang tahun 2020. Apa yang pasti, perkembangan dan kemajuan IPTS sentiasa mendapat perhatian KPT dalam menjamin mutu dan kualiti pengajian tinggi yang ditawarkan. KPT berpendapat IPTS wajar diberikan ruang dan peluang untuk memperbaiki diri untuk memantapkan mutu perkhidmatannya. Kita berharap transformasi oleh KPT ini dapat menghasilkan IPTS yang benar-benar mampu menggalas cita-cita negara dalam melahirkan modal insan yang unggul dan menguasai nilai dan kemahiran yang tinggi

54. Tahun 2010 ini akan diisi dengan penerusan program yang kebanyakannya sedia dirancang melalui teras-teras utama dan program agenda kritikal PSPTN. Beberapa usaha penambahbaikan serta pengenalan inisiatif baru dibuat bertujuan bagi meneguhkan lagi pencapaian serta sebagai reaksi kepada cabaran-cabaran semasa serta tujuan menepati keperluan agenda pembangunan negara yang baru. Kejayaan semua agenda ini banyak bergantung kepada tindakbalas yang diberikan kepada semua pihak; KPT, IPTA, IPTS, Politeknik, Kolej Komuniti secara amnya dan setiap warga sektor pengajian tinggi khasnya. Saya penuh yakin sekiranya semua pihak membantu melaksanakan agenda-agenda itu secara sepenuh hati, komited dan ikhlas, kita akan mampu melonjakkan sektor pengajian tinggi negara ke tingkat yang lebih tinggi lagi.

55. Selaras dengan pendekatan kerajaan: Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ serta penetapan bidang keberhasilan yang ingin dicapai serta diukur sewajarnya kita perlu mempastikan agar semua bahagian-bahagian dan agensi dan institusi dibawah Kementerian ini termasuk MQA, PTPN, IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti menyediakan KRA dan KPI masing-masing. Bagi tiap-tiap bidang keberhasilan utama itu, kita perlu bangunkan petunjuk prestasi secara jelas dan saya mahukan agar ia mencerminkan komitmen dan mampu melonjakkan kecemerlangan IPT negara kita. Semua pihak seterusnya perlu memastikan agar mereka dapat memenuhi tahap prestasi berkenaan, dalam erti kata lain ‘to let the water find its level’ dengan strategi perancangan dan pelaksanaan yang dirangka sendiri.

56. Sebagai sektor yang menjulang memperkaya ilmu, kita perlu melihat kehadapan dalam semua tindakan dan bukan bersandar pada masa lampau. Dengan kepakaran tinggi yang pelbagai yang dimiliki oleh sektor ini sebenarnya memungkinkan kita untuk berada satu langkah kehadapan (being one step ahead) mendepani masa dengan penerokaan ilmu baru dan mencuba bukan sahaja menyelesai masalah semasa tetapi proaktif melihat isu-isu yang relevan untuk masa hadapan. Dalam usaha untuk melaksanakan strategi ‘forward looking’ ini, IPT perlu memantapkan kualiti dalaman yang serasi dan boleh menyokong agenda kreatif dan inovasi dengan menumpu kemasa hadapan dan mengelakkan terlalu banyak birokrasi.

57. Akhir kata saya ingin menyeru supaya setiap warga KPT dan pihak yang terlibat di dalam sektor pengajian tinggi negara bertekat dan menanam semangat untuk memberikan yang terbaik pada tahun ini. Sesuatu kejayaan itu tidak akan datang tanpa usaha dari pihak kita, bak kata pepatah ‘kalau tak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya’. Sementara itu kita juga perlu perlu mengamalkan sikap positif untuk terus gigih melakukan sesuatu tugas dan sentiasa bersedia untuk belajar pada sebarang kesempatan.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 comments

Leave a Reply