Program ‘Sijil Modular Kebangsaan’ atau ringkasnya SMK Kolej Komuniti merupakan program latihan kemahiran yang berdasarkan kepada proses kerja sebenar yang akan dilaksanakan secara sepenuh masa dan juga separuh masa. Program SMK adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat (warganegara Malaysia) yang berumur 17 tahun ke atas. Sehubungan itu, Kolej Komuniti amat mengalu-alukan permohonan dari komuniti setempat, pesara kerajaan, warga emas, belia, lepasan sekolah dan juga lepasan IPT yang berminat.
Apakah kelebihan program SMK yang akan menggantikan program Sijil Sepenuh Masa sediada ?
Sebagai program baru, pastinya persoalan tersebut merupakan perbualan yang hangat diperkatakan sama ada dikalangan kakitangan Kolej Komuniti ataupun orang awam.
Secara ringkasnya; Kurikulum Program SMK yang dibangunkan bersama dengan industri secara berperingkat-peringkat adalah bertujuan untuk memudahkan lepasan Kolej Komuniti memasuki pasaran kerja dalam bidang berkaitan. Modul-modul yang relevan dengan pasaran kerja semasa pastinya akan membantu memantapkan kemahiran pelajar agar mampu menjadi tenaga mahir yang berkualiti.
Modul-modul SMK yang mengutamakan ‘proses kerja’ ini adalah melibatkan tempoh pengajian yang fleksibel iaitu 3 bulan hingga 6 bulan. Pengambilan bagi Program SMK akan bermula pada bulan Julai, Oktober dan Disember 2010.
Program SMK yang turut ditawarkan di Kolej-kolej Komuniti terpilih bermula Julai 2010 ialah Sijil Automotif, Sijil Servis Penyejukan dan Penyamanan Udara, Sijil Akuakultur, Sijil Pemasangan Elekrik, Sijil Penyelenggaraan Bangunan, Sijil Menyelenggara dan Membaiki Bot, Sijil Pengendalian Pelancongan, Sijil Operasi Perhotelan dan Sijil Kulinari.
Seiring dengan perubahan tersebut, Sesi Julai 2010 juga akan menyaksikan pengambilan pelajar terakhir bagi Sijil Sepenuh Masa (2 tahun) iaitu Sijil Multimedia Kreatif (Animasi), Sijil Teknologi Pembuatan Bersepadu dan Sijil Pelukis Pelan Senibina. Sehubungan itu, kini Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) sedang mempertimbangkan Sijil-sijil Modular yang bersesuaian bagi menggantikan Sijil-sijil Sepenuh Masa (2 tahun) dengan mengambilkira beberapa aspek seperti kepakaran pensyarah, keperluan masyarakat setempat dan juga kemudahan P&P.
Catatan ini adalah berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh wakil JPKK semasa Taklimat Pelaksanaan Program Modular Kolej Komuniti, KPT Bil. 3/2010 di Hotel MITC Ancasa, Melaka pada 01 Julai 2010.
Dipetik dari kkkba.wordpress.com
0 comments